Minggu, 22 Desember 2013

Kerajaan akan bela guru besar SK Seri Pristana kata Ku Nan

Oleh Hasbullah Awang Chik
July 27, 2013
 
Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor semasa upacara berbuka puasa di Masjid Amaniah, Kepong hari ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 Julai, 2013. 
Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor semasa upacara berbuka puasa di Masjid Amaniah, Kepong hari ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 Julai, 2013.Guru besar SK Seri Pristana Mohamad Nasir Mohd Nor bakal mendapat pembelaan daripada kerajaan sekiranya jelas terbukti beliau tidak bersalah dalam isu membenarkan pelajar bukan Islam sekolah berkenaan menikmati makanan pada waktu rehat di bilik persalinan, kata Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata isu SK Seri Pristana diputar belitkan pihak pembangkang bagi menunjukkan kerajaan bersalah dalam isu tersebut.

“Guru besar tersebut memang sengaja meletakkan pelajar sekolah itu menikmati makanan pada waktu rehat di bilik persalinan bagi melindungi pelajar daripada terdedah kepada sinaran matahari.

“Pihak pembangkang telah memutar-belit perihal sebenar yang berlaku di sekolah berkenaan dengan menyalahkan pihak sekolah dan kementerian,” ujar beliau semasa satu sidang media sempena majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur.

Setiusaha Agung Umno itu turut mengulas perselisihan faham yang berlaku di antara Perkasa dan Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinbam) semasa mengumumkan penubuhan Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (Mirac) di Kuala Lumpur semalam.

Tengku Adnan berkata pembangkang turut mengapi-apikan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat bagi membentuk persefahaman antara kaum sambil terus memberikan persepsi yang buruk kepada Perkasa dengan melabelkan mereka sebagai pertubuhan perkauman.

“Apa yang berlaku sebenarnya hanyalah persepsi yang cuba dimainkan pembangkang bagi memburukkan Perkasa. Mereka ini sengaja menangguk di air yang keruh.

“NGO seperti ini wajar dipuji kerana telah menunjukkan semangat perpaduan tanpa mengira agama dan bangsa bagi mencapai satu tujuan. Jangan kita biarkan pihak pembangkang untuk melemparkan tuduhan yang bukan-bukan. Mereka hanya mahu mengelirukan rakyat dan bermain dengan emosi rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan yang baru dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan berkata beliau akan berusaha keras bagi meningkatkan prestasi Umno dan Barisan Nasional (BN) di wilayah itu dengan cuba mengembalikan kegemilangan BN sebagaimana yang pernah diterajuinya dahulu pada tahun 2000.

Beliau bertekad untuk menambah penguasaan BN yang mana hanya menang dua kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu menjadi kepada empat kerusi pada PRU akan datang. Majlis berbuka puasa di masjid berkenaan adalah yang kelapan dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan sempena meraikan bulan Ramadhan.

Pasangan suami isteri yang kurang berkemampuan di kawasan tersebut menerima sepasang persalinan dan wang tunai RM100 setiap pasangan.

Semalam, semasa Majlis Mesyuarat Tertinggi Umno di Kuala Lumpur, Tengku Adnan telah dipilih sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan sementara Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin sebagai timbalannya. - 27 Julai, 2013.
The Malaysian Insider

0 komentar:

Posting Komentar