Tampilkan postingan dengan label parlimen. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label parlimen. Tampilkan semua postingan

Selasa, 11 Februari 2014

BN Kekal Di Kerusi Parlimen Balik Pulau


PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Balik Pulau di Pulau Pinang selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak rayuan dikemukakan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Panel lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif menolak rayuan Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan memerintahkannya membayar kos perundangan RM20,000, masing-masing kepada anggota Parlimen Balik Pulau dari BN Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, pegawai pengurus pilihan raya kawasan Balik Pulau dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Turut bersidang bersama-sama Md Raus ialah empat Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Ramly Ali.

Peguam yang mewakili Dr Hilmi, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin telah mengemukakan bantahan awal terhadap rayuan itu, menyatakan rekod rayuan itu tidak kukuh.

Mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak dengan kos petisyen pilihan raya Muhammad Bakhtiar yang difailkan untuk membatalkan kemenangan Dr Hilmi di kawasan Parlimen Balik Pulau dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang diadakan pada Mei tahun ini.

Muhammad Bakhtiar perlu membayar sejumlah RM180,000 bagi kos perundangan kerana Mahkamah Pilihan Raya sebelum ini memerintahkannya membayar RM40,000 masing-masing kepada Dr Hilmi, pegawai pengurus pilihan raya Balik Pulau dan SPR bagi prosiding di Mahkamah Pilihan Raya.

Dr Hilmi, yang juga Timbalan Menteri Kesihatan mengalahkan Muhammad Bakhtiar dengan majoriti 1,539 undi.

Muhammad Bakhtiar diwakili peguam Murali Ram manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili SPR.

Sementara itu, panel yang sama turut mendengar rayuan petisyen pilihan raya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising di Kelantan.

Md Raus, bagaimanapun berkata mahkamah menangguhkan untuk membuat keputusan bagi rayuan itu kerana mereka mahu menunggu penghakiman satu lagi panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berkaitan petisyen-petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan DUN di Kelantan dan Perak.

Rayuan itu dikemukakan pengarah pilihan raya PAS bagi Selising, Semsudin Muhammad selepas petisyen pilihan rayanya ditolak Mahkamah Pilihan Raya dengan kos RM30,000.

Zulkifle Ali dari BN mengalahkan Saiful Bahrim Mohamad dari PAS dan calon Bebas, Ibrahim Ismail, dengan majoriti 107 undi di kerusi Selising dalam PRU13.

Semsudin diwakili peguam Murtadza Mokhtar manakala peguam Datuk Hafarizam Harun mewakili Zulkifle dan SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad.- BERNAMA

Minggu, 02 Februari 2014

Pakatan akan gesa panel khas parlimen untuk persempadanan yang adil


Oleh Syed Jaymal Zahiid
May 24, 2013

PETALING JAYA, 24 Mei — Pakatan Rakyat (PR) akan menggesa penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) sebagai platform untuk memastikan persempadanan semula kerusi yang lebih adil, kata pemimpin mereka.

Penubuhan PSC berkenaan, berhubung persempadanan semula berkemungkinan hujung tahun ini, akan membolehkan kedua-dua parti politik PR dan Barisan Nasional (BN) berbincang untuk proses yang lebih saksama, kata pemimpin DAP, Tony Pua (gambar), dan kemudiannya turut berkata ia bakal menjadi agenda pertama PR apabila Dewan mula bersidang pada Jun.

“Kita akan perjuangkan, jawatankuasa khas parlimen, kami mahu jawatankuasa terpilih untuk persempadanan semula untuk pengagihan kerusi yang lebih adil,” katanya di hadapan sekitar 5,000 penyokong mereka dalam himpunan “thanksgiving” di sini.

PR baru-baru ini juga telah mengemukakan rancangan mereka bagi menggunakan pertambahan anggota mereka di Parlimen bagi membolehkan persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan dengan adil apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan persempadanan penghujung tahun ini.

Pemimpin mereka berkata jika perkara itu melibatkan pertambahan kerusi, persetujuan dua pertiga majoriti diperlukan untuk meluluskan perubahan sebelum diluluskan di Dewan Rakyat.

BN bagaimanapun tidak berjaya mendapat majoriti dua pertiga Dewan, dengan hanya 133 kerusi, dan PR mempunyai 89 kerusi, maka memerlukan sokongan daripada pemimpin pembangkang bagi tujuan tersebut.

Pecahan pengundi yang tidak adil antara kawasan parlimen menjadi utama pertikaian PR untuk menyokong dakwaan sistem persempadanan semula parlimen membantu BN untuk memenangi pilihan raya dan terus berkuasa.
Pua dalam ucapannya menegaskan perkara itu dan kekurangan persempadan semula kerusi akan menyaksikan kedudukan BN tidak akan tercabar walaupun pemerintah itu mengalami penurunan undi popular.

“Persempadanan semula yang tidak adil memberikan kemenangan untuk BN,” katanya.
Beliau kemudiannya berkata kepada The Malaysian Insider, rancangan PR untuk mendesak penubuhan PSC telah dipersetujui kepimpinan tertinggi parti.
Dua hari lalu, Timbalan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMCEDEL) Amer Saifude berkata BN akan terus kekal memerintah selagi sistem pengundian “first past the post” terus digunakan di Malaysia walaupun persempadanan semula dilakukan.

Amer menjelaskan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada akhir tahun ini akan memberi kelebihan kepada gabungan pemerintah yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak dan akan memberikan keputusan lebih baik kepada BN berbanding Pilihan Raya 2013.
“Selagi mana kita mengguna pakai sistem first past the post, ia akan menjadi kelebihan untuk BN,” kata Amer dalam satu forum berkenaan kesan Pilihan Raya 2013 di sini.

“Sejarah menunjukkan setiap kali persempadan semula, prestasi BN akan meningkat,” tambahnya.
BN yang diketuai Najib hanya memperolehi 47 peratus undi popular walaupun menang Pilihan Raya 2013 dengan majoriti mudah sebanyak 133 kerusi, berbanding 89 kerusi dimenangi Pakatan Rakyat (PR).
Beliau turut berkata Najib adalah Pengerusi BN pertama yang paling lemah ketika tempoh penggal pertama menjadi perdana menteri, kesan akibat kegagalan sistem tersebut.

Kegagalan sistem berkenaan jelas Amer dapat dilihat bagaimana BN yang tidak pernah mencatatkan 60 peratus undi popular masih menang dengan jumlah besar yang ditandingi mereka.
Beliau turut menjelaskan bagaimana beberapa kerusi di seluruh negara dipersempadankan semula tanpa sebab yang kukuh.
“Sesetengah persempadanan semula itu tidak masuk akal dan tidak adil, ia biasanya dilakukan untuk kepentingan sesuatu pihak,” katanya.

Pua bagaimanapun berkata dengan pilihan raya telah selesai. Dan usaha sedang dibuat untuk mencabar beberapa keputusan pilihan raya, melalui petisyen, langkah seterusnya untuk PR adalah fokus kepada persempadanan semula termasuk berusaha untuk sistem yang lebih adil.The Malaysian Insider